|
|
Mengenai Kami
| Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai LITRAK merupakan syarikat konsesi kepada Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). Sejak ia siap dibina pada Disember 1998, lebuhraya dalam bandar ini memudahkan urusan perjalanan anda terutamanya apabila melalui kawasan-kawasan perumahan dan bandar-bandar seperti Kepong, Bandar Sri Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya, Sunway, Subang Jaya, Puchong dan Shah Alam. LDP juga merupakan laluan pantas, strategik dan penting yang menghubungkan anda ke tempat-tempat utama di Lembah Klang seperti Petaling Jaya, Kuala Lumpur serta kawasan-kawasan tarikan pelancong. | LDP mempunyai 19 persimpangan bertingkat yang menjanjikan laluan pantas, selesa dan mampu melancarkan pergerakan trafik. Ia melengkapkan Jalan Lingkaran Tengah II, di sebelah barat Lembah Klang yang membolehkan anda mengelak daripada memasuki jalan dalam bandar yang sedia sesak. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan di dalam bandar malah mampu menampung kapasiti kenderaan yang lebih besar di koridor Utara-Selatan, sepanjang 40 km daripada Sri Damansara di Selatan, menghubungkan Petaling Jaya dan Puchong. Di samping itu, ia juga menghubungkan anda ke Putrajaya, Cyberjaya dan kawasan perindustrian Hicom-Shah Alam.
Demi keselesaan anda, LDP menggunakan sistem kod yang mudah diingati untuk tujuan masuk mahupun keluar di lebuhraya. LDP mempunyai 4 Plaza Tol-TP1 (Penchala), TP2 (Petaling Jaya Selatan), TP3 (Puchong Barat) dan TP4 (Puchong Selatan). LDP juga menyediakan penanda kilometer di bahagian tengah lebuh raya bagi tujuan rujukan sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan kerosakan kenderaan.
LDP telah membawa Lembah Klang lebih dekat kepada anda, menjadikan ia lebih mudah untuk digunakan untuk menghala ke bandar-bandar, pusat perniagaan dan kewangan di dalam dan luar Lembah Klang. Lanjutan daripada ini, LDP yang telah mewujudkan kawasan-kawasan pembangunan baru seperti Penchala dan Puchong juga dilihat akan membantu ke arah lebih banyak kewujudan peluang-peluang pembangunan.
Nikmati perjalanan anda dengan LDP. Laluan selesa untuk ke destinasi anda.
|
| |
|
|